Perjuangkan Taarana – Berita Harian

Datin Umayal dances for Taarana
KASIH sayang dan ketabahan sering dikaitkan dengan wanita. Mungkin kerana kelembutan hati hawa secara lahiriah membuatkan mereka mudah jatuh hati sekali gus sanggup berjuang demi memberikan kesejahteraan hidup buat orang yang mereka cintai.

Pengorbanan dan cinta juga membuatkan wanita mencerminkan kecekalan, semangat membara mencairkan segala sekatan yang tersedia menanti mereka.

Sikap wanita ini yang sanggup membanting dirinya, berlatih hampir lima jam setiap hari demi menguasai semula pementasan yang bakal dipertontonkan kepada umum patut dijadikan teladan walaupun sebenarnya beliau layak dilayan sebagai tetamu terhormat.

Datin Umayal Eswaran, yang juga pengerusi dan Ahli Pengarah Eksekutif Badan Kebajikan Vijayaratnam sanggup turun padang mempersembahkan tarian klasik India, Dasavatar, yang sudah ditinggalkannya sejak 15 tahun dulu demi mengumpul dana memulakan sekolah buat kanak-kanak keperluan khas.

Wanita yang berkecimpung dalam dunia tarian sejak usianya empat tahun itu tidak menafikan bukan mudah mengasah semula langkah yang sudah lama ditinggalkannya.

Setiap pergerakan perlu menunjukkan kecekapan serta kesempurnaan dan kerana itu, ia memerlukan banyak latihan dan kesabaran memandangkan jadualnya sebagai usahawan, isteri dan juga ibu cukup padat.

Tetapi, Umayal berpegang teguh kepada pendirian, setiap kerja kebajikan yang dilakukan akan lebih bermakna dan memberi kepuasan jika dia sendiri turun padang dan berhempas-pulas menjayakannya.

“Setiap projek berjaya dijalankan bertambah bermakna kepada saya jika diri ini sendiri mengerah keringat, turun padang bersama yang lain untuk mencapai matlamat. Di samping itu, saya tidak mahu hanya dikenali sebagai ‘pengarah’.

“Campur tangan saya juga akan membuatkan individu lain yakin terhadap kesungguhan saya menjalankan aktiviti kebajikan membantu golongan yang memerlukan, termasuk kurang upaya dan miskin,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Wanita yang tidak lekang melemparkan senyuman manis sepanjang perbualan petang itu juga memberitahu hasratnya untuk memulakan projek Taarana, sekolah khas untuk kanak-kanak istimewa itu tercetus apabila beliau mendapati negara ini masih kekurangan kemudahan sedemikian.

“Taarana hadir apabila saya mula mendapati di sini kurang kemudahan persekolahan untuk kanak-kanak yang bermasalah dalam pembelajaran mereka seperti disleksia.

“Bukan mudah untuk memulakan sekolah atau pusat untuk kanak-kanak bermasalah dalam pembelajaran. Keperluannya berbeza dan mereka tidak seperti kanak-kanak normal, yang boleh bergerak sendiri dalam mencapai kecemerlangan akademik.

“Namun, itu bukan alasan untuk kita meminggirkan kanak-kanak ini. Saya berharap kehadiran Taarana mampu memberikan gaya hidup dan pencapaian yang diperlukan pelajar bermasalah, malah meningkatkan kebolehan untuk berada dalam komuniti,” jelasnya, yang membuat persembahan itu bersama barisan penari terkenal tempatan dan India, baru-baru ini.

Dana yang dikumpul digunakan untuk menampung keperluan Taarana, termasuk membayar gaji guru, menyediakan kelengkapan persekolahan dan murid selain sebagai bayaran sewa sekolah berkenaan, di Taman OUG, di ibu kota.

Taarana ditubuhkan bagi menyediakan kemudahan pendidikan bagi kanak-kanak keperluan khas berusia 6 tahun hingga 12 tahun.

Sejajar maksud Taarana, iaitu kesedaran dan dengan harapan, kanak-kanak yang didaftarkan di sekolah itu akan mengikuti sukatan pelajaran yang disediakan dengan gabungan Persatuan untuk Individu Keperluan Khas (Singapura).

Kanak-kanak terbabit bakal didedahkan dengan kurikulum yang bukan sekadar memberi tumpuan pada akademik malah kemahiran hidup, pendidikan psikologi dan kesenian. Untuk maklumat lanjut mengenai Taarana, layari laman web www.vf.org.my.

Bercerita lanjut mengenai projek Badan Kebajikan Vijayaratnam yang ditubuhkan pada 2006, Umayal berkata, setiap projek dan dana yang ditubuhkan memberikan fokus pada kanak-kanak, terutama yang bermasalah dari segi fizikal mahu pun psikologi dan memerlukan penjagaan khas.

Antara inisiatif tahunan ialah program Footprints, yang menumpukan pada kanak-kanak kurang bernasib baik untuk menjadikan mereka lebih cemerlang dalam hidup.

“Kanak-kanak ini akan dibimbing oleh mentor mereka yang ditapis sebelum diberikan kepercayaan untuk membimbing anak-anak. Jalinan ini akan mengajar kanak-kanak ini pentingnya mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran dan kehidupan,” katanya.

Pihaknya juga memberi peluang kepada kanak-kanak dari rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang menikmati kehidupan normal seperti kanak-kanak lain, menyaksikan persembahan Disney on Ice serta perlumbaan kereta di Sepang.

Setakat ini, pihaknya mendapat kerjasama dan sumbangan pelbagai pihak, termasuk bantuan kewangan untuk perubatan dan biasiswa pembelajaran.

 

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>